Thursday, 14 June 2012

Peniaga nasi lemak dipenjara seumur hidup mengilang senjata


2012/06/14

SHAH ALAM: Seorang peniaga nasi lemak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini kerana mengilang senjata atau amunisi tanpa lesen tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak turut menjatuhi hukuman penjara setahun ke atas Abdul Wahab Mohammad Noor, 45, kerana memiliki selaras revolver tiruan jenis Python 357.
Selain itu, dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana memiliki 810 biji skru yang telah menimbulkan anggapan munasabah bagi tujuan menyalahi undang-undang.
Hakim Mohd Sofian memerintahkan ketiga-tiga hukuman penjara itu berjalan serentak berkuatkuasa dari tarikh Abdul Wahab ditangkap iaitu 2 April 2009.

Dalam penghakimannya, Mohd Sofian berkata tertuduh amat bernasib baik terlepas daripada hukuman mati kerana kesalahan mengilang senjata tanpa lesen mengikut Seksyen 12(1) Akta Senjata 1960 membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan. 

"Tidak seperti kes pengedaran dadah, dalam kes ini, pihak pendakwaan tiada kuasa untuk reduce charge. It all depends on me. Saya berpuas hati kamu lakukannya sebagai hobi tetapi ia hobi yang amat bahaya.

"Kalau kamu dapat pengampunan (daripada Sultan) jangan ulangi kesalahan ini. Sekarang kamu akan ke penjara, belajarlah ilmu yang sesuai, buat kasut atau menjahit ke, saya harap kamu insaf dan terimalah takdir kamu ini," kata Mohd Sofian. 
Abdul Wahab mengaku bersalah melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di No.2893, Batu 15, Paya Jaras Hilir, Petaling dekat sini pada 9.30 malam, 2 April 2009.
Tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu. 

Bagaimanapun, selepas sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, Abdul Wahab menukar pengakuannya.

Terdahulu, dalam rayuan untuk pengurangan hukuman, peguam S.S.Ravichandran yang mewakili Abdul Wahab berkata anak guamnya yang beristeri dua mempunyai 11 orang anak termasuk seorang anak angkat, yang mana sebahagian besarnya masih bersekolah.

Ravichandran berkata, tertuduh membuat senapang angin sebagai hobi atas permintaan pelanggannya.

"Daripada keterangan saksi-saksi yang sudah beli senapang, mereka menggunakannya sebagai hobi untuk memburu puyuh, ayam hutan dan binatang liar kecil. Tiada keterangan menunjukkan senapang itu digunakan untuk mencederakan manusia," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum Abdul Ghani berkata keterangan menunjukkan tertuduh mempunyai daya pemikiran yang tinggi untuk membuat senapang daripada bahan-bahan yang secara tersendirinya tidak bahaya.

Bagaimanapun, beliau berkata apabila bahan-bahan itu dikumpulkan, ia menjadi senapang angin yang boleh digunakan untuk menembak.

"Saya tidak nafikan keterangan saksi-saksi bahawa penggunaan senapang adalah sebagai hobi tetapi kita tidak boleh ketepikan keterangan pegawai persenjataan daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang memberitahu bahawa senapang buatan sendiri adalah bahaya dan boleh menyebabkan kematian," katanya. - BERNAMA

Tuesday, 29 May 2012

Pendapatan Rakyat Malaysia Mesti RM12,000 Sebulan Untuk Beli Rumah Teres Pada Tahun 2020!!

Harga Rumah Teres Pendapatan Rakyat Malaysia Mesti RM12,000 Sebulan Untuk Beli Rumah Teres Pada Tahun 2020!!

Apa lagi yang boleh diharapkan dengan keadaan harga rumah di Malaysia terutamanya melibatkan bandar-bandar besar di Malaysia sekarang ini? Bukannya semakin menyenangkan rakyat Malaysia tetapi semakin membebankan dan adakalanya harga rumah di Malaysia yang ada ketika ini agak menakutkan. 

  1. Kondominium One Menerung di Bangsar contohnya yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit
  2. Sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta manakala rumah teres dua tingkat di Cheras bermula dari harga RM500,000Apabila harga rumah sudah begitu mudah mencapai ke tahap nilai sebegitu, ia sudah bukan lagi harga yang mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
 Harga sebegitu rupa boleh dikatakan sudah menjadi “senaman mata” oleh rakyat Malaysia setiap hari yang kadangkalanya apabila melihat buat kali kedua boleh menyebabkan “sakit mata”. Hakikatnya, rakyat Malaysia yang tergolong daripada kalangan yang berpendapatan serdahana iaitu sekitar RM6,000 sebulan hanya mampu memandang sahaja.
Senario kenaikan harga rumah untuk 5 tahun kebelakangan ini, bukan sahaja setakat berlegar di kawasan Lembah Klang malah sudah mula “berjangkit” di sekitar Kajang, Bangi, Sungai Buloh, Rawang dan tidak lupa juga di sekitar Semenyih. Contohnya :
  • Beberapa lokasi harga rumah teres baharu di Semenyih dengan keluasan 24×70 kaki (7×21 meter) kini sudah mencecah harga RM460,000. Anda mampu?
  • Harga rumah bersaiz 22×70 kaki sudah mencapai RM510,000. Anda mampu?
  • Harga rumah di Rawang pula untuk keluasan dijual pada harga sekitar RM288,000 (20×65 kaki). Anda mampu?
  • Harga rumah di Sungai Buloh bermain pada harga RM398,000 untuk keluasan 22×75 kaki. Anda mampu?
  • Lain-lain ada nak tambah untuk perkongsian semua?

Rata-rata kalau diperhatikan kalangan yang terdiri daripada golongan pertengahan lebih gemar memilih rumah teres disebabkan faktor keluasan pada harga yang mereka fikirkan pada harga masih lagi munasabah disebabkan “pilihan yang terhad”.
Jika harga rumah terus melambung tinggi tetapi pendapatan rakyat Malaysia masih tidak menunjukkan peningkatan yang seimbang, alamatnya impian golongan pertengahan untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah rumah teres bukan hanya tinggal angan-angan semata disebabkan keadaan menjadi lebih sukar apabila harga rumah teres dijangka mencecah harga RM800,000 sebuah menjelang tahun 2020 iaitu 8 tahun daripada sekarang

Kajian Harga Rumah Teres di Malaysia VS Pendapatan Rakyat Malaysia

Berdasarkan unjuran kenaikan purata harga sebanyak tujuh peratus setahun oleh syarikat perunding hartanah CH William Talhar & Wong Sdn. Bhd. (WTW) selepas mengambil kira harga purata terbaharu rumah teres di Selangor iaitu RM480,000 sebuah :
  1. Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Profesor Dr. Jariah Masud meramalkan bahawa harga rumah teres di Lembah Klang bakal mencecah RM1 juta dalam tempoh 10 tahun akan datang walaupun berlaku krisis ekonomi
  2. Pengarah Urusan WTW, Sr. Foo Gee Jen memberitahu,harga rumah teres di pinggir bandar bakal menjadi lebih kompetitif berikutan kenaikan harga rumah di pusat bandar Kuala Lumpur
  3. Harga rumah teres di Lembah Klang akan meningkat sekali ganda menjelang tahun 2020
  4. harga rumah teres di Taman Tun Dr. Ismail yang kini bernilai RM1.5 juta bakal mencapai harga RM3 juta dalam tempoh 8 tahun lagi
Dan bagi menampung kemungkinan kenaikan mendadak harga rumah teres pada masa akan datang (2020), anda semua perlu mempunyai pendapatan sekitar RM12,000 sebulan bagi membolehkan anda  memiliki sebuah rumah teres pada tahun 2020. Berapakah pendapatan anda ketika ini? Anda perlu 8 tahun daripada sekarang untuk “memperbaikinya”…
Ini kami sentuh lebih kepada golongan yang berpendapatan sekitar RM6,000. Persoalannya, berapa ramaikah orang muda memiliki pendapatan RM6,000 sebulan sekarang ini? Bagaimana pula keadaan orang muda yang berpendapatan sekitar RM1,500 – RM3,000 sahaja? Adakah anda semua sudah bersedia ke arah itu sekarang ini?

Monday, 28 May 2012

Perniagaan Runcit di Malaysia

Sektor peruncitan di negara ini merupakan antara bidang perniagaan yang boleh menjanjikan keuntungan tinggi bersandarkan keadaan rakyat di negara ini yang sememangnya gemar menbeli-belah di samping mendapatkan barang keperluan seharian mereka.

Tradisi aktiviti peruncitan secara moden pula boleh dikesan sejak dari zaman pemerintahan Inggeris lagi apabila banyak kedai runcit kepunyaan saudagar dari India dan milik imigran dari Tanah Besar China dibuka di bandar-bandar besar Tanah Melayu.

Ada diantara kedai-kedai tersebut menjadi warisan sehingga kini dan diusahakan pula oleh anak cucu mereke dengan reka bentuk kedai asal tetap dikekalkan dan penggunaan alat kira seperti sempoa masih dipraktikkan.

Bagi orang Meleyu pula, ada golongan yang berani terbabit dengan akitiviti ini dengan membuka kedei-kedai runcit kecil di kawasan luar bandar dan kampung. Walaupun saiz operasinya tidaklah sebesar saiz operasi kedai runcit milik bangsa lain, tetapi fungsinya sebagai pembekal barangan kering dan basah untuk masyarakat luar desa tidak boleh diabaikan.

Sehingga ke hari ini, aktiviti peruncitan seperti ini masih berterusan. Yang membezakan antara dulu dan sekarang adalah kedai runcit bangsa lain sudah berkembang menjadi pasar raya besar manakala kedai runcit milik orang Melayu masih mengekalkan operasinya secara sederhana serta tidak mampu bersaing dengan kedai milik bangsa lain.

Jika ada perbezaan sekalipun, mungkin kini orang Melayu sudah berani untuk membuka kedai runcit di kawasan bandar dan sekitar taman perumahan dengan operasinya dibesarkan sedikit menjadi pasar mini (mini market).

Satu revolusi baru dalam sektor peruncitan negara dikesan berlaku pada awal tahun 1990-an apabila Jaya Jusco Berhad, sebuah syarikat peruncitan terbesar di Jepun dipelawa memasuki pasaran negara ini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bermula pada tahun itu, operasi syarikat tarbabit terus berkembang sehingga pada tahun 2005 dilaporkan hasil jualan syarikat berkenaan melebihi RM1 bilion dengan 13 cawangan pasar raya Jusco berada di negara ini. Dengen situasi keadaan negara ini, tidak mustahil sekiranya pendapatan syarikat ini bakal terus berkembang dengan jualan dijangka mencecah lebih dari RM2 bilion pada tahun ini.

Kemudian sekitar tahun 1993, muncul pula gergasi penuncitan dari Eropah yang mula mengintai untuk memasuki pasaran di negara ini. Carrefour mengambil giliran dan sehingga kini kumpulan terbabit mempunyai 13 cawangan di seluruh negara.

Apa yang menarik mengenai Carrefour ialah, kumpulan terbabit menguasai pasaran peruncitan di Eropah dan menduduki tangga kedua di dunia dari segi keuntungan selepas Wal-Mart dari Amerika dengan jualan berjumlah RM309.6 bilion di seluruh dunia.

Industri peruncitan negara kemudian menyaksikan pula kemasukan Tesco pada sekitar tahun 2000 hasil usaha sama di antara syarikat terbabit dengan Sime Darby Berhad. Tesco merupakan syarikat peruncitan keempat terbesar di dunia dengan jualan melebihi AS RM237 bilion setahun.

Andai ada syarikat tempatan yang mampu menyaingi syarikat gergasi ini, cuma Kumpulan Mydin Mohamad Holdings Berhad yang bermula pada tahun 1956 dengan 15 cawangan di seluruh negara serta jualan melebihi AS$111 juta setahun dapat bersaing dengan mereka.

Bagaimanapun pasar raya Mydin mungkin tidak boleh dibandingkan dengan gergasi-gergasi peruncitan yang lain kerana dari segi keuntungan, saiz operasi dan khidmat selepas jualan, Mydin boleh dianggap masih di belakang lagi.

Dari segi segman pemasaran juga, Mydin cuma menguasai golongan kelas yang berpendapatan sederhana dan rendah sahaja. Sedangkan golongan yang mempunyai pendapetan melebihi RM2000 sebulan masih tertumpu pada pasar raya besar yang lain.

Di sini satu persoalan mengapakah kerajaan melalui syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan seperti Khazanah Holdings dan yang lain tidak mahu atau tidak berani untuk melakukan palaburan dalam sektor ini sedangkan industri ini amat besar pasarannya?

Jika pengurusan dan pentadbiran yang dibimbangkan, maka jika diteliti nama-nama pengurus di syarikat antarabangsa terbabit, kita akan mendapati hampir separuh daripadanya adalah orang Melayu yang pastinya beragama Islam.

Sebagai contoh, daripada 13 cawangan Jusco di negara ini, lapan pengurusnya adalah Melayu. Ini tidak termasuk lagi pengurus-pengurus kanan dan kumpulan pengurusan atasan yang lain. Ini tidak ditambah lagi dengan pengurus-pengurus Melayu dari Carrefour, Tesco atau Giant.

Yang pastinya kita tidak akan ketandusan kelompok profesional untuk mengurus atau mentadbir sebuah syarikat peruncitan berteraskan Islam sepenuhnya sekiranya ada pihak yang berani untuk melabur dan terlibat secara serius dalam industri ini

Andai masalah modal pula dibangkitkan, terdapat banyak sumber umat Islam yang boleh digunakan. Tabung Haji misalnya mempunyai ratusan juta wang umat Islam di negara ini yang boleh digunakan sebagai modal pelaburan.

Buat masa kini, Tabung Haji hanya banyak terbabit dengan aktiviti pelaburan yang dianggap selamat seperti pertanian dan pembinaan. Walaupun pelaburan Tabung Haji ini boleh dianggap menguntungkan, namun ia mengambil masa yang panjang untuk menghasilkan keuntungan.

Sebagai contoh aktiviti perladangan memerlukan tempoh antara tujuh hingga lapan tahun sebelum pokok sawit dapat mengeluarkan hasil sekaligus memberikan pulangan kepada pelabur. Sesuatu yang patut dipertimbangkan juga adalah harga minyak sawit berada di pasaran komoditi. Maka harga minyak sawit bersifat tidak statik sama seperti getah yang mengalami kenaikan harga dan penurunan harga mengikut pasaran dunia.

Sektor peruncitan pula menjanjikan sesuatu yang amat berbeza. Dengan anggaran penduduk Islam di negara ini yang melebihi 10 juta orang, pelaburan terhadap pasar raya besar menjanjikan keuntungan dan kecairan modal yang pantas kecuali jika terdapat situasi salah urus atau masalah lain seperti bencana alam atau peperangan.

Bayangkan dengan kewujudan sebuah pasar raya besar seperti ini, umat Islam di negara ini mempunyai satu pilihan alternatif yang lebih praktikal untuk membeli-belah dan berbelanja. Di samping itu kecairan tunai umat Islam dapat disalurkan kepada satu sistem ekonomi yang turut dipunyai oleh umat Islam sendiri.

Adalah sesuatu yang menarik sekiranya usaha ini dapat menjadi realiti. Andai syarikat-syarikat gergasi peruncitan antarabangsa mampu menembusi negara-negara Islam tidak mustahil juga peluang syarikat milik umat Islam mampu untuk berkembang di negara Islam yang lain adalah besar juga.

Dengan jaringan pasaran industri peruncitan umat Islam yang besar dari negara di Timur Tengah ke negara China, industri ini bukan sahaja mampu menjana ekonomi umat Islam malah dapat membantu memasarkan produk-produk yang dijamin halal dan bersih.

Friday, 18 May 2012

Peranan KL harmonikan Islam, Barat diiktiraf

PENGANUGERAHAN Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di London adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada Malaysia yang turut sama membantu membangunkan pusat berkenaan. Anugerah Piagam Diraja itu diberikan oleh keluarga Diraja Britain sejak abad ke-13 lagi selepas mendapat perkenan Dewan Penasihatnya. Ia diberikan kepada mana-mana institusi dan pertubuhan yang bekerja demi kepentingan awam dan yang dapat menunjukkan keunggulan, kestabilan dan rekod pencapaian kukuh dalam bidang masing-masing.

Majlis sempena penganugerahan piagam itu kelmarin dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku ahli majlis tertinggi OCIS dan juga sebagai tetamu Putera Wales, Putera Charles. Sumbangan Malaysia bagi pembinaan sebuah auditorium dengan reka bentuk ukiran kayu Malaysia adalah simbol kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan OCIS. Pengiktirafan terhadap sumbangan Malaysia itu amat membanggakan dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Pusat itu ditubuhkan pada 1985 dengan Putera Charles sebagai penaung, bertujuan menggalakkan pengajian ilmiah mengenai Islam dan dunia Islam. Kewujudan pusat itu melambangkan toleransi di antara dunia Islam dan Barat. Perdana Menteri pernah menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Gabungan antara Kesederhanaan dan Ketamadunan’ di pusat itu tahun lalu.
Dalam ucapannya ketika itu, Najib menyarankan supaya semua warga sejagat mendukung kesederhanaan bagi memastikan masa depan dunia lebih adil untuk semua dengan menggarap permodenan dan kesederhanaan secara bersama. Malaysia juga berpendirian bahawa sempadan sebenar bukan di antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun, mahupun antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya ialah antara kesederhanaan dan ektremisme. Atas tema sama jugalah, ketika berucap pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dua tahun lalu, Perdana Menteri menyarankan penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang memperlihatkan kerajaan, intelektual, ulama dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia, mengambil pendirian bersama sejajar dengan semangat wassatiyah atau kesederhanaan. Serentak dengan penyertaan di OCIS, Malaysia juga mewujudkan Felo Tun Abdul Razak bagi menghargai dan mengingati sumbangan besar bekas Perdana Menteri kedua kepada pembangunan negara. Penubuhan felo itu akan memudahkan lagi cendekiawan Islam berkongsi ilmu dengan ulama Islam di seluruh dunia. Peranan Malaysia di OCIS dan Universiti Oxford itu akan membolehkan negara ini mengetengahkan konsep wassatiyah dan membetulkan salah tanggapan dunia Barat terhadap Islam. Kita yakin OCIS akan membantu kita menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan moden, sekali gus membetulkan salah tanggapan masyarakat dunia terhadap Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

Malaysia di landasan kukuh capai inflasi tiga peratus

MALAYSIA berada di landasan kukuh untuk mencapai kadar inflasi sederhana antara dua hingga tiga peratus bagi seluruh tahun ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Beliau menegaskan, satu-satunya risiko yang boleh melonjakkan kadar itu lebih tinggi ialah peningkatan harga komoditi.
“Jika harga tenaga meningkat secara mendadak seperti yang berlaku pada 2008, maka kita akan melihat harga lebih tinggi. Tetapi jika keadaan itu tidak berlaku, kadar inflasi akan terus sederhana,” katanya dalam satu temubual dengan Bloomberg Television di Istanbul, Turki.
Jika harga tenaga meningkat secara mendadak seperti yang berlaku pada 2008, maka kita akan melihat harga lebih tinggi. Tetapi jika keadaan itu tidak berlaku, kadar inflasi akan terus sederhana. - Dr Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara
Zeti berkata, berdasarkan kepada persekitaran inflasi yang sederhana ketika ini, bank pusat itu tidak melihat keperluan untuk mengubah kadar faedah.

Beliau menjelaskan, penentuan hala tuju kadar faedah adalah bergantung kepada tinjauan inflasi dan pertumbuhan, dan pihaknya menilai perkara itu secara berhati-hati.

“Ketika ini, kami (Malaysia) mempunyai kadar inflasi sederhana. Kami juga mempunyai kadar faedah yang akomodatif dalam erti kata, ia tidak menyekat aktiviti pinjaman dan ia menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

Mengenai sama ada wujud keperluan untuk menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun ini, Zeti berkata buat masa ini unjurannya kekal. 
Katanya, unjuran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun itu akan didorong permintaan domestik dan pihaknya sudah mengambil kira pertumbuhan perlahan eksport.

Mengenai terbitan sukuk dalam mata wang asing di Malaysia, Zeti berkata fleksibiliti dalam peraturan pentadbiran pertukaran wang asing ketika ini mendorong penerbitan beberapa sukuk dalam denominasi mata wang yang berbeza-beza.

“Kami mempunyai sukuk yang diterbitkan dalam dolar Singapura dan kami juga mempunyai sukuk dalam renminbi pertama di dunia. Ini adalah satu perkembangan yang sangat menarik,” jelasnya.

Mengenai kemungkinan terbitan sukuk dalam denominasi euro, Zeti berkata ia adalah sesuatu yang akan dilaksanakan pihaknya pada masa depan kerana mata wang itu adalah mata wang rizab antarabangsa yang penting.

Beliau percaya euro akan terus menjadi mata wang rizab antarabangsa yang penting jika ia tidak terjejas dengan krisis hutang Eropah.

Ditanya mengenai kelewatan dalam penubuhan bank Islam mega bagi mengendalikan transaksi antarabangsa secara besar-besaran, Zeti menjelaskan proses mengeluarkan lesen kepada entiti baru adalah lebih lama berbanding proses mengeluarkan lesen kepada institusi asing sedia ada di dunia ini.

IHH tawar 360 juta saham Bumiputera Oleh Ahmad Farizal Hajat ahmadfarizal@bharian.com.my 2012/05/18

Syarikat buat tawaran IPO untuk langganan penyenaraian pada Julai 

INTEGRATED Healthcare Holdings Bhd (IHH), syarikat pengendali rangkaian perubatan swasta kedua terbesar di dunia yang dikuasai Khazanah Nasional Bhd, menawarkan 360 juta sahamnya untuk langganan pelabur Bumiputera.
Tawaran berkenaan dibuat menjelang tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu susulan cadangan penyenaraiannya di Bursa Malaysia serta Bursa Singapura yang dijangkakan pada Julai ini.
Ia ditawarkan IHH di bawah peruntukan khusus Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), bertujuan memberikan lebih banyak peluang kepada pelabur Bumiputera memiliki saham syarikat berkenaan. 

Mengikut tawaran yang disiarkan di laman web MITI semalam, pelabur Bumiputera yang mahu melanggan saham IHH itu perlu mematuhi syarat di mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. 

Ini termasuk memiliki simpanan tunai tidak kurang daripada RM250,000 serta mempunyai jumlah aset bersih peribadi melebihi RM3 juta atau yang sama nilainya dalam mata wang asing. 

Bagi agensi perbadanan atau syarikat Bumiputera pula, entiti berkenaan mesti mempunyai jumlah aset bersih melebihi RM10 juta ringgit atau yang sama nilainya dalam mata wang asing berdasarkan akaun terakhir yang telah diaudit. 
Tarikh tutup permohonan bagi melanggan saham berkenaan ialah pada 5 Jun ini. 

Pelabur yang berminat boleh mengemukakan permohonan mereka secara dalam talian atau menghubungi Pusat Pengurusan Perkhidmatan Pelanggan MITI di talian 03-20846440 bagi mendapatkan maklumat lanjut. 

Harga tawaran bagi saham berkenaan tidak dinyatakan, namun sumber industri berkata harga indikatif bagi saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI itu akan diketahui seawal bulan depan, sementara prospektus IPO syarikat itu pula dijangka dilancarkan pada awal Julai. 

IHH menerusi syarikat dikuasainya mengendalikan 83 hospital dengan bilangan katil berjumlah 12,300, sekali gus menjadi pengendali pusat kesihatan terbesar dunia di belakang Hospital Corporation of America (HCA) dengan 163 hospital. 

Ia memiliki 100 peratus ekuiti masing-masing dalam Parkway Holdings Ltd; Pantai Holdings Bhd; IMU Health Sdn Bhd; 8.8 peratus ekuiti dalam Apollo Hospitals Enterprise Ltd; dan 75 peratus dalam Acibadem Saglik Yagtirimlari Holdings AS (ASYH). 

Parkway ialah syarikat penjagaan kesihatan Singapura sementara Pantai Holdings adalah antara pengendali hospital swasta terbesar di Malaysia. 

IMU Health pula adalah pemilik dan pengendali Universiti Perubatan Antarabangsa di Nilai, Negeri Sembilan; Apollo Hospitals mengendalikan rangkaian hospital di beberapa negara di Asia, sementara ASYH ialah rangkaian hospital terbesar di Turki. 

Khazanah menguasai 62.1 peratus kepentingan dalam IHH sementara bakinya oleh Mitsui & Co (26.6 peratus), Abraaj Capital (7.1 peratus) dan dan keluarga Aydinlar (4.2 peratus). 

Seorang ahli perbankan pelaburan berkata, IPO IHH itu dijangkakan membabitkan sekurang-kurangnya 25 peratus daripada modal saham berbayar syarikat itu. 

Berdasarkan peratusan itu, ia dijangka berpotensi mengumpul modal sehingga RM6 bilion, sekali gus menjadi yang kedua terbesar di Malaysia tahun ini selepas IPO Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Bhd dan yang keempat terbesar dalam sejarah Singapura, katanya. 

Khazanah sebelum ini mengumumkan sudah melantik CIMB Invesment Bank sebagai penasihat bagi IPO IHH itu. 

Selain bank pelaburan itu, syarikat pelaburan kerajaan itu turut melantik Merill Lynch dan Deutsche Bank sebagai penasihat utama, di samping tiga bank lain iaitu Goldman Sachs, Credit Suisse dan DBS Bank of Singapore sebagai pengurus bersama.

Saturday, 12 May 2012

PROTON keluar bursa Rabu

PROTON Holdings Bhd (PROTON) akan dikeluarkan secara rasmi daripada penyenaraian dagangan di Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa jam 9 pagi, Rabu ini, selepas hampir 20 tahun pengeluar kereta nasional itu diapungkan di pasaran saham tempatan.
Ia susulan langkah pemilik barunya, DRB-Hicom Bhd untuk menjadikan pengeluar kereta nasional itu sebagai syarikat persendirian.
“PROTON akan dikeluarkan daripada senarai rasmi Bursa Malaysia Securities berkuat kuasa 9 pagi pada 16 Mei bagi memenuhi keperluan penyenaraian Pasaran Utama Perenggan 16.07(a),” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam. 

Urus niaga saham pengeluar kereta nasional itu sudah digantung pada 4 Mei lalu bagi memberikan laluan kepada langkah berkenaan. 

PROTON didagangkan buat kali terakhir pada harga RM5.48, iaitu paras tertinggi sejak November 2011 iaitu pada RM2.62. 

Pada Rabu lalu, tawaran pengambilalihan DRB-HICOM terhadap saham PROTON berakhir dengan konglomerat itu menguasai 99.08 peratus daripada 544.1 juta saham pengeluar kereta nasional itu. 
Pada 16 Januari lalu, DRB-Hicom membeli 42.74 peratus kepentingan ekuiti dalam PROTON daripada Khazanah Nasional Bhd pada harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion dan kemudian membuat tawaran am mandatori (MGO) bagi baki saham pengeluar kereta nasional itu yang tidak dimilikinya juga pada RM5.50 sesaham, sekali gus menjadikan kos keseluruhan pengambilalihan itu sebanyak RM3 bilion. 

Ditubuhkan pada 7 Mei 1983 dengan modal berbayar RM150 juta, PROTON adalah pengeluar kereta pertama Malaysia. 

Penubuhannya syarikat yang asalnya dikenali dengan nama Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mentransformasikan negara daripada industri berasaskan pertanian kepada perindustrian. 

Ia membuat kemunculan sulung di Bursa Malaysia pada 26 Mac 1992, sebelum ditukar nama dan status penyenaraiannya kepada PROTON Holdings Bhd pada 16 April 2004. 

Terdapat empat objektif utama yang digariskan oleh kerajaan dalam penubuhan projek kereta nasional itu iaitu menyusun semula industri automotif di Malaysia, menggalakkan pertumbuhan industri sokongan dan hiliran, mencapai perpindahan teknologi dan menambah penyertaan Bumiputera dalam industri automotif. 

Sepanjang 29 tahun lalu, PROTON berkembang dalam banyak segi kepakaran tenaga kerja, peningkatan teknologi reka bentuk, kualiti produk, membantu mewu-judkan industri sokongan dan peluang pekerja kepada ribuan rakyat Malaysia.
sumber:

Mahanum Abdul Aziz 
mahanum@bharian.com.my
2012/05/12