Friday, 18 May 2012

Peranan KL harmonikan Islam, Barat diiktiraf

PENGANUGERAHAN Piagam Diraja kepada Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) di London adalah satu pengiktirafan dan penghormatan kepada Malaysia yang turut sama membantu membangunkan pusat berkenaan. Anugerah Piagam Diraja itu diberikan oleh keluarga Diraja Britain sejak abad ke-13 lagi selepas mendapat perkenan Dewan Penasihatnya. Ia diberikan kepada mana-mana institusi dan pertubuhan yang bekerja demi kepentingan awam dan yang dapat menunjukkan keunggulan, kestabilan dan rekod pencapaian kukuh dalam bidang masing-masing.

Majlis sempena penganugerahan piagam itu kelmarin dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku ahli majlis tertinggi OCIS dan juga sebagai tetamu Putera Wales, Putera Charles. Sumbangan Malaysia bagi pembinaan sebuah auditorium dengan reka bentuk ukiran kayu Malaysia adalah simbol kerjasama dua hala antara Kerajaan Malaysia dan OCIS. Pengiktirafan terhadap sumbangan Malaysia itu amat membanggakan dan mampu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Pusat itu ditubuhkan pada 1985 dengan Putera Charles sebagai penaung, bertujuan menggalakkan pengajian ilmiah mengenai Islam dan dunia Islam. Kewujudan pusat itu melambangkan toleransi di antara dunia Islam dan Barat. Perdana Menteri pernah menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Gabungan antara Kesederhanaan dan Ketamadunan’ di pusat itu tahun lalu.
Dalam ucapannya ketika itu, Najib menyarankan supaya semua warga sejagat mendukung kesederhanaan bagi memastikan masa depan dunia lebih adil untuk semua dengan menggarap permodenan dan kesederhanaan secara bersama. Malaysia juga berpendirian bahawa sempadan sebenar bukan di antara Timur dan Barat atau antara negara maju dan membangun, mahupun antara orang Islam dan bukan Islam, sebaliknya ialah antara kesederhanaan dan ektremisme. Atas tema sama jugalah, ketika berucap pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dua tahun lalu, Perdana Menteri menyarankan penubuhan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang memperlihatkan kerajaan, intelektual, ulama dan pemimpin perniagaan di seluruh dunia, mengambil pendirian bersama sejajar dengan semangat wassatiyah atau kesederhanaan. Serentak dengan penyertaan di OCIS, Malaysia juga mewujudkan Felo Tun Abdul Razak bagi menghargai dan mengingati sumbangan besar bekas Perdana Menteri kedua kepada pembangunan negara. Penubuhan felo itu akan memudahkan lagi cendekiawan Islam berkongsi ilmu dengan ulama Islam di seluruh dunia. Peranan Malaysia di OCIS dan Universiti Oxford itu akan membolehkan negara ini mengetengahkan konsep wassatiyah dan membetulkan salah tanggapan dunia Barat terhadap Islam. Kita yakin OCIS akan membantu kita menonjolkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan moden, sekali gus membetulkan salah tanggapan masyarakat dunia terhadap Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

No comments:

Post a Comment