Friday, 28 September 2012

Tingkat Kempen Haram Merokok

Percanggahan pendapat berhubung fatwa mengatakan merokok adalah haram di sisi Islam menyebabkan umat Islam tidak memandang serius fatwa berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Othman Mustapha, berkata kesedaran mengenai bahaya rokok masih kurang dan tidak dipandang serius. 

“Mungkin kewujudan beberapa pendapat membuatkan mereka leka walaupun kesan buruk mengenainya dijelaskan dalam fatwa dan kempen anti merokok yang giat dijalankan kerajaan. Jadi, kita kena kerja kuat (untuk beri kesedaran). 

“Mungkin Kementerian Kesihatan boleh melihat sejauh mana penjelasan diberikan dari aspek kesihatan kerana mereka (umat Islam) sendiri mahu lihat dari aspek kesihatan,” Datuk Othman Mustapha, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Mungkin Kementerian Kesihatan boleh melihat sejauh mana penjelasan diberikan dari aspek kesihatan kerana mereka (umat Islam) sendiri mahu lihat dari aspek kesihatan,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2012 anjuran JAKIM dan Kementerian Kesihatan, di sini semalam.

Merokok adalah haram

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-37 pada 23 Mac 1995, memutuskan merokok haram kerana terdapat kemudaratan padanya. Ia berdasarkan beberapa hujah termasuk rokok mengandungi pelbagai jenis racun dan ketagihan tembakau tidak hanya menimbulkan masalah kepada perokok.

Othman berkata, hasil kajian JAKIM menunjukkan segelintir masyarakat belum mengetahui kewujudan fatwa yang diputuskan, sekali gus menyebabkan mereka terjebak dalam perbuatan bercanggah dengan fatwa dan hukum Islam. 
Kempen kesedaran

“Kita ada program pendidikan fatwa bertujuan untuk menghebahkan kepada umat Islam mengenai keputusan fatwa dari segi hukum berhubung isu dihadapi masyarakat. Kita juga turun ke negeri dan insya-Allah tahun depan, Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan JAKIM untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai bahaya rokok,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Munshi Abdullah, berkata kajian Global Adult Tobacco Survey (GATS) tahun lalu, menunjukkan kecenderungan merokok di Malaysia adalah 23.1 peratus, manakala 4.7 juta berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. 

Perkukuh kesejahteraan rakyat

Bajet 2013 dijangka perkukuh kesejahteraan rakyat, rancakkan ekonomi.
Bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini dijangka penerusan dasar afirmatif yang beliau perkenalkan sejak tiga tahun lalu untuk terus meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia. 
Pakar ekonomi berkata, bagi memastikan pertumbuhan dan perkembangan sosial yang mapan selain mengamalkan pengurusan kewangan berhemat, bajet itu akan lebih kepada ‘pengembangan sedikit tetapi lebih berhemat’. 

Sudah banyak didebatkan yang bajet negara sebelum ini lebih terarah kepada kemiskinan luar bandar sementara penduduk bandar kelas pertengahan kerap kali diketepikan.
Tampung program rakyat

Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan pada 2012 dianggarkan RM229 bilion dan ini bermakna perbelanjaan tahun depan akan tinggi sedikit bagi menampung pelbagai program menyeluruh bertujuan mengukuhkan kesejahteraan rakyat dalam beberapa bidang.

Ini termasuk rumah mampu milik, pengangkutan awam yang lebih baik, keselamatan awam, kemudahan pendidikan dan latihan, peluang perniagaan dan pelaburan yang lebih meluas.

Katanya, sementara sesetengah pihak lebih cenderung melabelkan Bajet 2013 sebagai ‘belanjawan pilihan raya’ berikutan programnya lebih berpusat kepada rakyat dan masa/tempoh untuk pilihan raya umum dijangka antara sekarang dan Jun tahun depan, seseorang itu tidak seharusnya lupa bahawa memperbaiki kehidupan rakyat menjadi seruan lantang Najib sejak memegang jawatan April 2009. 
Aspirasi rakyat

Bajet itu, kata mereka, seiring dengan prinsip ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ yang akan mengambil kira aspirasi rakyat untuk kehidupan lebih baik dan bersandarkan kepada asas ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Dalam Bajet 2012 tahun lalu, Najib, yang juga Menteri Kewangan memilih tema “Dasar Transformasi Nasional: Membela Rakyat dan Menyejahterakan Negara.”
Dalam kata lain, falsafah Bajet 2013 melangkaui pilihan raya umum.

Sebaliknya, ia bersedia ke arah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat seperti meringankan kos kehidupan, memperbaiki penjagaan kesihatan, memajukan modal insan dan mengembangkan infrastruktur asas di kawasan kurang membangun, terutama di Sabah dan Sarawak.

Tangani kebimbangan pembayar cukai

Sehubungan itu, katanya, Najib, sebagai game-changer dalam transformasi politik dan ekonomi negara, akan memastikan Bajet 2013 akan menangani kebimbangan pembayar cukai kelas pertengahan bandar, yang pendapatan bulanan antara RM5,000 dan RM10,000.

Sudah banyak didebatkan yang bajet negara sebelum ini lebih terarah kepada kemiskinan luar bandar sementara penduduk bandar kelas pertengahan kerap kali diketepikan.

“Kesejahteraan komuniti/masyarakat secara keseluruhannya termasuk penduduk luar bandar, wanita, belia, kakitangan awam dan perniagaan akan turut diberi perhatian bagi menggerakkan negara ke hadapan serta menyediakan penampan terhadap sebarang situasi luaran yang tidak menentu terutamanya pergolakan yang tercetus dari Eropah, tahun depan,” katanya.

Transformasi berjaya

Ini bermakna kesinambungan dasar perlu bagi merancakkan ekonomi domestik, yang telah menyaksikan pertumbuhan yang agak menggalakkan tahun ini, terutama dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan.

Pelaksanaan beberapa Projek Permulaan (EPP) mengikut Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) turut memberikan banyak rangsangan kepada ekonomi tempatan.

Ini jelas dengan kerancakan pelaburan sektor persendirian selain pengembangan pasaran modal tempatan menerusi kejayaan tawaran awam permulaan (IPO) berprofil tinggi seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd, permodalan pasaran Bursa Malaysia yang lebih baik dan meningkatnya tarikan kewangan Islam dalam pasaran kewangan global.

Berikutan kejayaan pasaran modal tempatan dan peranan penting Malaysia dalam penerbitan bon-bon sukuk, kerajaan dijangka memperhebatkan lagi insentif untuk pasaran modal sebagai pemboleh kepada pertumbuhan ekonomi.

Mengenai isu pengurusan kewangan berhemat, kerajaan akan kekal komited untuk terus menurunkan defisit fiskal kepada sekitar 4.0 peratus pada 2013 daripada 4.5 peratus pada 2012 dan 3.0 peratus menjelang 2015.

Ditanya bagaimana ia akan dilaksanakan walaupun Bajet itu adalah ‘belanjawan dengan pengembangan yang sedikit’, mereka menjelaskan yang ia akan dilakukan menerusi pengurusan kewangan lebih baik, termasuk mengurangkan pembaziran dan menyalurkan subsidi kepada kumpulan sasaran yang betul dan sesuai.

Ditanya sama ada persoalan mengenai duti eksais yang rendah untuk kenderaan bermotor akan ditangani dalam Bajet 2013, mereka berkata yang ucapan Najib seharusnya menjurus kepada menyemak semula industri automobil negara, di mana mata pencarian lebih 500,000 rakyat yang dikaitkan dengan industri ini berhadapan risiko selain meneliti kebangkitan syarikat kereta nasional. - BERNAMA

Friday, 21 September 2012

Wanita perlu tahu apakah tindakan yang perlu diambil

DEWASA ini kejadian jenayah dan ancaman daripada musuh boleh terjadi di mana-mana dan pada bila-bila masa. Paling membuatkan kita semua berasa gusar apabila dikatakan golongan yang paling menjadi tumpuan serangan-serangan jenayah adalah wanita. Oleh itu penting untuk wanita tahu apakah tindakan yang perlu diambil dan apakah langkah persediaan yang mesti dibuat sekiranya berdepan dengan situasi yang tak disangka sebegini.

Pada kali ini, kita berkongsi 4 tips mempertahankan diri untuk wanita. Berikut adalah perkara-parkara yang boleh para wanita lakukan sebagai persediaan…

1. Tambahkan Kekuatan Fizikal
Tidak semestinya menjadi seorang ahli bina badan barulah perlu menjaga atau meningkatkan kekuatan fizikal. Lakukanlah aktiviti senaman secara rutin yang dapat membantu menguatkan tubuh anda. Sebagai contoh, aktiviti bangkit tubi dan tekan tubi dapat membina kekuatan pada tubuh bahagian atas anda. Tanpa kekuatan, tumbukan atau tendangan anda tidak mungkin mampu menewaskan ancaman yang menimpa. Biar dengan sekali tumbukan atau tolakan sahaja, si penjenayah jatuh terlentang dan anda boleh ambil kesempatan melepaskan diri.


2. Tingkatkan Daya Tahan Kardiovaskular


Ingat akan prinsip pertahankan diri iaitu ‘lari lebih baik daripada dipukul’. Nampak macam pengecut bukan? Tapi ini bukan soal siapa berani. Ini soal keselamatan anda. Anda wanita dan biasanya penjenayah adalah daripada kalangan lelaki. Sentiasa bersedia untuk lari kerana itulah pilihan utama anda. Larilah sekuat hati anda sambil menjerit meminta tolong. Namun, anda memerlukan daya tahan kardiovaskular yang tinggi. Tanpa daya tahan kardiovaskular yang bagus, anda tidak mungkin dapat melarikan diri dengan jauh, pantas dan tidak dapat dikejar.
Oleh itu rajinkan diri bersenam. Berjalan kaki atau berjogging adalah baik. Setiap kali berlatih tambah jarak atau masa larian anda. Semakin kuat data tahan kardiovaskular anda, semakin selamatlah anda. Ia ibarat insurans nyawa sebenarnya.

3. Kekalkan Ruang Keselamatan
Tips mempertahankan diri ketiga untuk wanita adalah – ruang atau jarak keselamatan. Apabila anda sedang berhadapan dengan penjenayah dan sedang berkomunikasi dengannya, pastikan anda tidak berdiri terlalu dekat dengan mereka. Wujudkan sempadan dengan mengawal jarak anda sekurang-kurangnya 2 meter. Bercakap dengan nada suara yang tegas dan pandanglah dengan tepat pada matanya. Jangan sesekali terleka dengan terlepas pandang pada penjenayah walaupun sedetik. Ini akan membuka ruang untuk mereka mengambil kesempatan menyerang anda. Petuanya di sini – kekalkan ruang keselamatan dengan penjenayah. Jika mereka menghampiri sedikit maka jauhkan diri sedikit agar ruang keselamatan itu tadi kekal.

4. Pengetahuan Tentang Strategi Dan Teknik Pertahankan Diri
Hadirlah ke mana–mana kursus atau kelas beladiri atau berdaftarlah sebagai ahli seni beladiri di mana-mana persatuan. Belajarlah sebanyak mungkin yang anda mampu, terutamanya kaedah melepaskan diri dari pegangan atau pelukan, bagaimana untuk gunakan teknik memanipulasikan sendi (kuncian) dan bagaimana untuk berlawan dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring di lantai. 

Monday, 10 September 2012

Strategi dan harapan RMK-10


Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID
RANCANGAN Malaysia Kesepuluh (RMK-10) penting untuk memulihkan keadaan ekonomi negara yang tergugat kesan daripada kejatuhan ekonomi global. Prestasi ekonomi negara menguncup pada 2009 dan kembali berkembang secara perlahan pada 2010. Keseluruhannya, pencapaian ekonomi negara dari 2000 - 2009 adalah pada kadar 4.5 peratus hingga 5.0 peratus. Prestasi pertumbuhan dalam tempoh RMK-9 mencatatkan 4.2 peratus setahun.
Ia meninggalkan kesan pada 2010 di mana berlakunya jurang sebanyak 26 peratus bagi pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala jurang dalam Keluaran Negara Kasar (KNK) pula adalah 52 peratus. Justeru, kadar pertumbuhan ekonomi negara perlu dinaikkan agar tidak wujud jurang yang besar.
Ia adalah cabaran kerana untuk tempoh lima tahun akan datang, ekonomi dunia dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus. Ia berasaskan kepada pertumbuhan ekonomi negara membangun dan negara baru yang dianggarkan pada kadar 6.6 peratus setahun.
Apa pun, dari segi agenda nasional, RMK-10 amat penting bagi mencapai Wawasan 2020. Justeru, RMK-10 perlu melonjakkan pertumbuhan KDNK pada kadar enam peratus setahun. Kerajaan juga perlu mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus dalam tahun 2010 kepada kurang daripada tiga peratus pada tahun 2015.
Petunjuk positif pertumbuhan ekonomi negara sudah ada. Bagi suku tahun pertama tahun ini, ekonomi negara sudah mencapai pertumbuhan sebanyak 10 peratus. Pasaran eksport negara dijangka berkembang sebanyak 10.6 peratus setahun di mana sektor pembuatan dilihat akan menyumbang sebanyak 78.8 peratus daripada jumlah eksport pada akhir RMK-10.
Kerajaan juga meletakkan sasaran urusan perniagaan negara pada kedudukan 10 negara teratas di dunia menjelang akhir 2015. Sasaran itu akan meletakkan negara mampu berdaya saing di peringkat global serta menjadi destinasi penting menjalankan perniagaan di Asia.
Dasar kewangan negara yang dinamik dan pragmatik juga telah menyumbang kepada pemulihan ekonomi domestik. Daya tahan sistem kewangan negara tetap kukuh. Sistem perbankan kita tidak terjejas. Menurut Laporan Tahunan dan Kestabilan Kewangan 2009, modal wajaran risiko perbankan kita meningkat pada paras 14.8 peratus pada akhir 2010 berbanding 12.6 peratus pada 2008.
Yang jelas, RMK-10 menampakkan satu perancangan rapi kerajaan untuk melakukan program reformasi ekonomi negara. Dengan jumlah peruntukan sebanyak RM290 bilion, kerajaan berusaha menyediakan pentas untuk transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Ini bermakna dalam tempoh lima tahun RMK-10, purata pendapatan rakyat perlu ditingkatkan sekali ganda daripada kadar sedia ada (RM26,420) kepada RM38,850 setahun.
Di antara cabaran kerajaan bagi menjayakan RMK-10 ialah mengurus kewangan awam secara mapan dengan mengimbangkan di antara usaha menyokong pertumbuhan ekonomi dengan pengurangan defisit fiskal secara teratur dan berkesan. Defisit fiskal kerajaan membesar sejak 12 tahun lalu kerana kekurangan pelaburan modal dari sektor swasta dan Pelaburan Asing Langsung (FDI). Senario itu menyebabkan kerajaan terpaksa lebih banyak melabur menyebabkan defisit fiskal kerajaan tidak dapat dikecilkan.
Justeru, di dalam RMK-10, kerajaan akan memastikan sektor swasta akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara. Untuk pengurusan awam yang mapan, kerajaan akan melaksanakan beberapa perkara iaitu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan subsidi secara berperingkat, meningkatkan kecekapan dan ketelusan dalam perolehan, memacu produktiviti melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta memperluas akses pungutan cukai.
Untuk memastikan RMK-10 berjalan dengan baik dan berkesan maka kerajaan menyediakan mekanisme bagi memantau pelaksanaan program dan aktiviti melalui petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap menteri dan kementerian.
Selain itu, usaha untuk mewujudkan persekitaran yang boleh merangsang dan menjayakan pertumbuhan ekonomi dan NKEA akan diberi keutamaan. Terdapat 10 premis atau idea utama di bawah RMK-10 yang akan berupaya melonjakkan status negara maju.
Premis-premis tersebut adalah ekonomi dipacu oleh faktor dalam negeri di samping mengambil kira persekitaran luar negara; memanfaatkan kepelbagaian etnik untuk mencapai kejayaan di pentas antarabangsa; transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi menerusi pengkhususan; menjayakan pertumbuhan yang diterajui oleh produktiviti dan inovasi; memupuk, menarik dan mengekalkan modal cemerlang; memastikan peluang sama rata dan melindungi golongan yang mudah terjejas; pertumbuhan menyeluruh, pembangunan inklusif; menyokong perkongsian pintar dan berkesan; menghargai khazanah dan alam sekitar dan kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.
Jika diteliti, idea-idea tersebut nampaknya menyokong dan mendukung lapan inisiatif yang digariskan oleh Majlis Penasihat Ekonomi negara (MPEN) bagi merealisasikan Model Baru Ekonomi (MBE).
Lapan inisiatif yang digariskan itu termasuklah menyubur kembali sektor swasta; membangun tenaga kerja berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing; menyubur ekonomi domestik yang berdaya saing; mengukuh sektor awam; tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran; membina infrastruktur berasaskan pengetahuan; meningkatkan sumber pertumbuhan; dan memastikan kebolehmapanan pertumbuhan.
Potensi pertumbuhan ekonomi di bawah RMK-10 perlu direalisasikan melalui peningkatan pelaburan dan produktiviti, kreativiti dan inovasi serta penggunaan modal insan dan sumber asli dan kewangan secara optimum. Keperluan terhadap penggunaan modal insan yang berkualiti dan cemerlang amat penting dan ia dilihat sebagai faktor kritikal bagi menjayakan RMK-10.
Justeru, tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran, aktiviti R&D dan modal teroka. Di antara isu yang harus ditangani kerajaan dalam soal modal insan ini ialah pengaliran kepakaran dan tenaga kerja mahir ke luar negara. Negara rugi apabila modal insan yang telah dilatih melalui sumber kewangan kerajaan dimanfaatkan oleh negara lain. Pendapatan dan insentif yang lebih baik harus dirangka bagi membendung aliran itu.
Berdasarkan senario yang ada pada hari ini, beberapa cabaran mungkin dihadapi oleh negara. Cabaran yang besar ialah kemungkinan berlakunya sentimen pelaburan yang rendah kesan daripada pertumbuhan ekonomi global yang perlahan. Selain itu, dasar inward looking di negara maju serta persekitaran pelaburan yang semakin kompetitif boleh menjejaskan FDI.
Kita yakin perkara itu dapat diurus dengan baik kerana di bawah RMK-10, kerajaan sudah menggariskan lima tumpuan utama bagi menjayakan RMK-10.
Pertama, mewujudkan persekitaran untuk pertumbuhan ekonomi yang diterajui oleh sektor swasta. Kedua, mewujudkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif supaya kekayaan negara diagihkan secara saksama bagi mengurangkan ketidaksamaan.
Ketiga, membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia, terutama dalam menggalakkan produktiviti dan pertumbuhan diterajui inovasi. Keempat, mewujudkan persekitaran ke arah meningkatkan kualiti hidup supaya selari dengan status negara berpendapatan tinggi. Kelima, mentransformasikan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia supaya mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi.
PENULIS ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.