Saturday, 29 December 2012

LHDN kutip cukai RM124.7 bilion, lepasi sasaran


Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip cukai sebanyak RM124.69 bilion sehingga semalam, dan jumlah itu melepasi unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kewangan untuk tahun ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, prestasi cemerlang agensi itu sekali gus melepasi unjuran RM123.82 bilion, selepas semakan semula unjuran asal sebanyak RM109.09 bilion.
"LHDN berjaya melepasi sasaran kerajaan. Jumlah hasil kutipan cukai ini meningkat sebanyak 13.76 peratus berbanding RM109.61 bilion pada 2011. Kutipan bagi tahun 2011 itu telah meningkat sebanyak 26.72 peratus berbanding kutipan berjumlah RM86.49 bilion yang dipungut pada 2010," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, kejayaan cemerlang LHDN itu didorong beberapa strategi yang digariskan, termasuk  penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk 10 aktiviti cukai, yang meliputi Kutipan Hasil, Akaun Belum Terima, kecekapan Kos Pungutan, Audit Luar, Bayaran Balik, Siasatan, memperluaskan asas cukai, perkhidmatan elektronik LHDN, latihan dan kompetensi pegawai serta kakitangan agensi itu.
Selain itu di peringkat LHDN, Jawatankuasa Pemantauan KPI akan membuat pemantauan setiap dua minggu bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai, katanya.
Sementara itu, dalam aspek penguatkuasaan, agensi itu meluaskan tindakan audit dengan menumpukan kepada kes yang berimpak tinggi, dan berjaya
menyelesaikan 1.89 juta kes, yang membabitkan RM2.94 bilion, selain penyelesaian kes siasatan berprofil tinggi melibatkan sejumlah RM653 juta.
"Peningkatan sebanyak 636,204 kes atau 50.42 peratus berbanding prestasi tahun lepas sekali gus meningkatkan hasil sebanyak RM207 juta," katanya.
Ahmad Husni yang juga Anggota Parlimen Tambun berkata, aktiviti pungutan turut dipantau yang melibatkan bayaran anggaran cukai syarikat, individu serta potongan cukai bulanan, selain memantau ansuran bagi kes tunggakan hasil.
Beliau berkata, kecekapan sistem perkhidmatan kepada pembayar cukai turut dipertingkatkan dengan penyediaan pelbagai perkhidmatan elektronik seperti e-Filing, e-Daftar dan e-Bayaran selain proses pembayaran balik cukai juga dipercepat dan dipermudah melalui pertukaran dana elektronik (EFT).
Perkhidmatan elektronik memberi kesan peningkatan kecekapan perkhidmatan kepada pembayar cukai dan turut meningkatkan pematuhan pembayar cukai terhadap peraturan serta undang-undang percukaian, katanya.
"Sehingga 30 November lepas, LHDN telah memproses 98.46 peratus bayaran balik daripada kes yang layak dibayar balik. Bilangan bank yang menjadi ejen kutipan LHDN juga kita tingkatkan. Ketika ini 11 bank dan Pos Malaysia terlibat sebagai ejen kutipan," katanya.
Pada Mac lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kejayaan LHDN meningkatkan kutipan hasil pada 2011 hampir 27 peratus lebih tinggi berbanding tahun 2010, merupakan satu pencapaian luar biasa.
Najib berkata, kejayaan badan itu mengutip hasil RM109.7 bilion bagi tahun 2011 bukan sahaja membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak perkhidmatan kepada rakyat malah dapat memberi rangsangan kepada sektor swasta untuk meningkatkan pelaburan mereka. - Bernama
    -- BERNAMA

Yang di-Pertuan Agong terima zakat perniagaan 4 syarikat

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima pemberian zakat perniagaan bagi tahun 2011 dari empat syarikat bernilai kira-kira RM1.91 juta, kepada Pejabat Zakat Negeri Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Majlis penyerahan zakat itu dimulakan dengan penyerahan zakat dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang disampaikan oleh Presidennya Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum dengan nilai RM105,207.

Daripada jumlah itu, RM55,140 akan diberikan kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan manakala selebihnya adalah kepada Pejabat Zakat Negeri Kedah.

Dalam majlis yang berlangsung di Istana Anak Bukit, Bina Darulaman Berhad (BDB) pula menyerahkan zakat melalui Pengerusinya, Datuk Saad Endut dengan nilai RM855,000 diikuti oleh Naib Pengerusi Koperasi Bank Persatuan  Malaysia, Zainon Ishak dengan nilai RM150,000.

Turut menyerahkan mock cek zakat perniagaan ialah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melalui Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Azizan Ayub bernilai RM800,790.

Sementara itu, Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya juga turut menyediakan 400 ekor lembu sebagai pemberian zakat kepada 103 asnaf Orang Asli yang terpilih dengan setiap seorang menerima empat ekor lembu bernilai kira-kira RM6,500 untuk diternak.

"Kita lihat mereka (Orang Asli) ada potensi dalam mengembangkan sektor pertanian melalui ternakan lembu. Salah satu tujuan kita memberi lembu kepada golongan Orang Asli sebagai zakat adalah kerana kita nak didik mereka untuk berdikari dan kita lihat mereka menghargai pemberian ini," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lepas Angkasa menyerahkan 180 ekor lembu kepada 60 orang asnaf dengan setiap seorang menerima tiga ekor anak lembu yang dianggarkan berharga kira-kira RM5,000.- Bernama

Monday, 10 December 2012

Tip Bercuti Bersama Anak-anak

Elak cuti jadi mimpi ngeri
Percutian bersama anak-anak kadangkala memeningkan. Tetapi ini bukan bermakna kita tidak boleh menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan. Tekanan pasti ada, maklum berdepan dengan anak yang masih kecil dan sukar dijangka. Persediaan rapi sangat penting.

Percutian seharusnya menjadi tali pengikat kasih sayang antara ibu dan anak-anak. Bagi mengelakkan percutian impian bertukar menjadi mimpi ngeri, panduan percutian yang praktikal bersama anak-anak perlu bagi menjayakannya.

Oleh itu, segala macam kerenah yang ditunjukkan anak-anak, terimalah dengan hati yang terbuka kerana hakikatnya percutian adalah masa yang paling ideal untuk ibu bapa yang sentiasa sibuk dengan kerjaya masing-masing mengenali personaliti sebenar anak kecil mereka yang semakin membesar.

Panduan berikut mungkin dapat membantu mengurangkan tekanan

- Cuba rancang waktu perjalanan yang hampir dengan waktu tidur anak untuk mengelakkan mereka meragam. Anak kecil mudah bosan duduk di dalam kenderaan untuk tempoh yang panjang. Jika tidak, kerap berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) bagi menghilangkan kebosanan mereka.

- Selimut dan bantal boleh menjadikan perjalanan jauh lebih selesa dan kalau bernasib baik mereka akan tertidur. Bawa bekalan seperti snek, roti dan air kotak. Anak-anak akan lebih tenang apabila perut terisi.

- Bawalah DVD kegemaran mereka jika kenderaan punya pemain DVD kereta.

Biarpun ramai ibu bapa terpaksa melupakan saluran radio mahupun muzik kegemaran kerana terpaksa mengalah dengan anak-anak demi ketenangan dan kelancaran pemanduan.

Selagi mereka tidak bergaduh, ulang memasang DVD berkali-kali pun tidak mengapa.

- Benarkan mereka membawa hanya satu permainan setiap seorang. Anak-anak sebenarnya sangat kreatif, mereka tidak perlu membawa permainan sebaliknya apa saja yang ditemui boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan. Sekurang-kurangnya mereka ada sesuatu yang melekakan untuk bermain.

- Siapkan beg pakaian yang ringkas. Bukan saja memberi anda lebih kebebasan, menjimatkan masa mengeluarkan dan memasukkan pakaian tetapi juga lebih mudah dibawa. Kereta sorong juga kadang kala remeh dan menyusahkan.

Dukung anak kecil anda atau biarkan mereka berjalan terutama yang `baru saja dapat kaki'. Pasti ia menyeronokkan.

- Siapkan keperluan utama anak dalam beg yang mudah dicapai, seperti lampin pakai buang, changing mat, tisu lembap, tuala kecil, tisu poket, termos kecil, sebotol air mineral, susu formula yang siap disukat, makanan dan minuman. Ia memudahkan pergerakan terutama apabila menggunakan kenderaan awam. Malah, menggunakan beg sandang belakang adalah lebih praktikal untuk membawa keperluan utama ini.

- Bawa pakaian anak secukupnya sepanjang percutian. Jumlah yang perlu dibawa bergantung kepada keperluan, mungkin tiga pasang sehari sudah memadai.

Bawa juga bersama topi, kasut, stokin, tuala mandi, tuala kecil, tisu lembap, bantal kecil, tisu poket, set mandian (travel pack), putik kapas, ubat-ubatan, dan juga termometer untuk memudahkan memantau suhu badan anak. Perubahan cuaca mungkin boleh menyebabkan anak kecil anda mudah mendapat demam. Mungkin anda boleh mencuba petua tidak memandikan anak kurang tiga jam sesudah sampai.

- Bawa ubat asas seperti panadol, ubat demam dan minyak angin serta ubat luka. Dengan anak-anak yang cergas dan lasak, kecederaan boleh berlaku bila-bila masa saja.

- Utamakan waktu rehat anak. Berjalan bersama anak kecil memerlukan kita mengikut rentak mereka.

Elakkan daripada terus berjalan-jalan sedangkan anak kecil anda sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam. Anak yang mula membuat kerenah akan membangkitkan kemarahan dan tekanan kepada ibu bapa. Oleh itu, cuba rancang waktu anda dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak kecil sebelum memulakan aktiviti. Keletihan yang berterusan mungkin boleh mengganggu kesihatan anak anda.


Saturday, 1 December 2012

Kolam Renang Palsu Dan Berillusi


Pernah tak jumpa atau tengok kolam renang yang nampak ada orang kat dalam kolam tu tapi berdiri seperti  biasa sahaja bukan dalam keadaan menyelam?
cuba tengok yang ini pula:
fakepool011 Kolam Renang Palsu Dan Berillusi
Rupanya ada orang lain di bawah tu.. tapi dalam bilik yang berasingan yang ada ruang udara.. hehe. Mari tengok yang ini pulak :
fakepool02 Kolam Renang Palsu Dan Berillusi
Yang ini di tempat lain :
fakepool03 Kolam Renang Palsu Dan Berillusi
Yang ini di Amerika:
fakepool04 Kolam Renang Palsu Dan Berillusi

Tak ada ke yang berbuat seperti ini di  Malaysia .....tunggu.....Malaysia Boleh!