Friday, 2 March 2012

Malaysia sebagai hab pengeluaran untuk kereta berteknologi hijau dan kereta elektrik


Beberapa pengeluar kereta global berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran untuk kereta berteknologi hijau dan kereta elektrik.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang enggan mendedahkan syarikat tersebut berkata, terdapat beberapa siri perbincangan dengan pengeluar kereta berkenaan namun ia masih di pelbagai peringkat awal.
“Belum ada yang muktamad tetapi kerajaan bersedia untuk mendengar permintaan mereka kerana teknologi hijau dan kenderaan elektrik menjadi pilihan pengguna, namun ia masih di peringkat perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan BMW Vision EfficientDynamics Concept di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan BMW Malaysia, Geoffrey Briscoe.
Menurut Mukhriz, salah satu sebab kesediaan pengeluar kereta global berminat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kerana komitmen kerajaan yang menyokong langkah persekitaran hijau.
Malah pengeluar kereta global turut melihat komitmen kerajaan memperkenalkan pengecualian penuh ke atas duti import dan eksais bagi kenderaan hibrid sehingga Disember 2013.
Selain itu katanya, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi iklim yang stabil dan berdasarkan perbincangan dengan pelabur asing mereka tertarik dengan kelebihan negara.
“Perkara utama yang difikirkan mereka ketika ini adalah kestabilan iklim dan kekerapan bencana alam bagi mengelakkan kerugian besar,” jelasnya.
Ditanya tentang kesediaan sektor automotif menghadapi dasar liberalisasi, beliau berkata, ketika ini syarikat automotif tempatan masih belum bersedia sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment