MUADZAM SHAH - Kira-kira 30 penduduk Orang Asli Kampung Kundang di sini minta kerajaan menyalurkan bekalan elektrik dengan segera di kawasan penempatan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kundang, Mohd Rani Abdullah berkata, sudah lebih 30 tahun penduduk menetap di kampung itu, namun mereka tidak pernah menikmati bekalan asas tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kundang, Mohd Rani Abdullah berkata, sudah lebih 30 tahun penduduk menetap di kampung itu, namun mereka tidak pernah menikmati bekalan asas tersebut.
Menurutnya, penduduk sudah hilang sabar kerana terpaksa berdepan kesulitan setiap hari, selain bergantung kepada penggunaan generator dan pelita setiap hari.
“Cara hidup kami tak ubah seperti zaman nenek moyang pada waktu dahulu dan mahu kerajaan segerakan proses penyaluran elektrik dari rumah ke rumah penduduk,” katanya.
Mohd Rani berkata, kehidupan kira-kira 50 penduduk di situ amat sukar terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah.
Menurutnya, bagi penduduk yang menggunakan generator, mereka terpaksa berbelanja di ‘luar kemampuan’ kerana terpaksa membeli minyak petrol setiap hari bagi menghidupkan enjin jana kuasa tersebut.
“Sebulan kami terpaksa berbelanja RM300 untuk minyak petrol sahaja dan keadaan ini sudah tentu memberi tekanan kepada kami,” katanya.
Katanya, dalam keadaan kos sara hidup di negara ini yang semakin tinggi, mereka pula terpaksa berbelanja lebih semata-mata mahu diterangi cahaya pada waktu malam.
“Kalau ada elektrik, wang kami boleh dijimatkan, malah anak-anak juga dapat mengulang kaji pelajaran dengan mudah,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dia berasa hairan kerana kotak elektrik sudah dipasang di setiap rumah dan balai raya, namun sehingga kini bekalan elektrik masih belum dipasang ke penempatan tersebut.
“Kotak elektrik sudah ada lebih dua tahun lalu, namun kami hairan kerana bekalan elektrik masih belum diperoleh,” katanya.
20 November 2012