Tuesday, 23 October 2012

Serah kepada Amanah Raya


pengarang@utusan.com.my

PELBAGAI reaksi dan maklum balas orang ramai diterima ekoran pendedahan Utusan Malaysia berhubung isu sindiket memanipulasi tuntutan insurans pada minggu lalu. Reaksi itu sama seperti sindiket tarik kereta dan pinjaman wang haram yang akhirnya menggesa kerajaan menggubal undang-undang berkaitan.

Antara yang tampil termasuk firma-firma guaman serta mangsa yang meminta satu tindakan proaktif seperti penubuhan badan bebas dan pengagihan pampasan menerusi tabung Amanah Raya Berhad diambil sebagai langkah segera mencegah dan membanteras kegiatan sindiket.
Seperti yang didedahkan sebelum ini syarikat insurans di negara ini saban tahun perlu membayar jumlah pampasan insurans kemalangan yang besar malah terus meningkat dan kini mencecah sehingga berbilion ringgit setahun. Malangnya tidak semua pampasan itu sampai kepada pengguna!
Kelicikan sindiket dan mangsa yang takut untuk membuat laporan atau tampil menjadi saksi antara penyumbang sindiket ini terlepas dan bebas daripada tindakan undang-undang.
Laporan khas kali ini antara lain mengusulkan cadangan orang ramai termasuk firma guaman berkenaan bagi menangani isu tersebut yang telah lama wujud dalam masyarakat.



Pendedahan sindiket memanipulasi tuntutan insurans kemalangan yang disiarkan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapat reaksi daripada pelbagai pihak termasuk syarikat-syarikat insurans sendiri.
Berikutan itu, salah sebuah firma guaman terkenal yang mewakili syarikat-syarikat insurans negara ini tampil mencadangkan penyelesaian segera yang boleh diambil kerajaan iaitu semua pampasan tuntutan insurans mangsa kemalangan diserahkan kepada Amanah Raya Berhad.
Amanah Raya dianggap sebagai badan bebas yang kemudian akan mengagih-agihkan pampasan kepada mangsa yang berkenaan.
Tindakan segera ini diperlukan kerana memandangkan senario masa kini, adalah hampir mustahil untuk membanteras sindiket walaupun menggunakan semua saluran dan peruntukan undang-undang sedia ada.
Amalan ini yang turut dipraktikkan di negara jiran, Singapura dilihat mampu menangani isu memanipulasi tuntutan insurans yang mengakibatkan ramai mangsa kemalangan memperoleh jumlah pampasan yang amat kecil daripada jumlah keseluruhan yang dibenarkan mahkamah.
Seorang peguam di firma tersebut yang enggan dikenali berkata, penyelesaian segera itu penting bagi mengelakkan sindiket mengaut keuntungan jutaan ringgit hasil insiden malang mangsa kemalangan.
“Amanah Raya bertindak menerima dan mengagih-agihkan tuntutan mengikut yang ditetapkan undang-undang dan secara langsung kepada mangsa tanpa perlu pihak tengah.
“Tindakan itu amat relevan berikutan sindiket dikesan mampu mengatasi semua sistem berkaitan insurans sehingga mangsa 'tidak sedar' dirinya teraniaya dan hanya memperoleh 10 hingga 20 peratus daripada jumlah pampasan yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini mendedahkan terdapat kegiatan memanipulasi insurans kemalangan sehingga menyebabkan pihak insurans terpaksa menanggung kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun.
Sindiket itu beroperasi melibatkan ejen insurans sendiri, bengkel membaiki kenderaan, trak tunda, firma guaman, malah pihak berkuasa, dengan ulat-ulat insurans berkeliaran di tempat-tempat tumpuan.
Dalam pada itu, peguam berkenaan yang lebih 30 tahun mengendalikan kes-kes tuntutan insurans memberitahu, Amanah Raya merupakan satu entiti yang bebas daripada sebarang kepentingan dan yang dilihat paling sesuai buat masa ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20121022/lk_01/Serah-kepada-Amanah-Raya#ixzz2A8BsR5wD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment