TINJAUAN KESELURUHAN
Malaysia mencatat pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua
Persekitaran ekonomi global terus mencabar pada suku kedua di tengahtengah kelemahan yang semakin ketara dalam beberapa ekonomi utama.
Pertumbuhan dalam ekonomi maju yang utama telah terjejas ekoran
kebimbangan mengenai dasar dan struktur dalam negeri. Di Asia, kegiatan
ekonomi menerima kesan daripada permintaan luar negeri yang lebih lemah.
Meskipun dalam persekitaran yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatat
pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 5.4% (S1 12: 4.9%), dipacu oleh
permintaan dalam negeri yang lebih kukuh, yang meningkat sebanyak 13.8%
(S1 12: 9.7%). Pertumbuhan disokong perbelanjaan sektor swasta dan awam
yang meningkat dengan teguh. Eksport bersih pula terus sederhana
disebabkan eksport yang lebih lemah dan import yang lebih tinggi. Dari segi
penawaran, kebanyakan sektor ekonomi utama negara terus berkembang,
dipacu oleh sektor perkhidmatan, perkilangan dan pembinaan.
Pembentukan modal tetap kasar mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh
pada 26.1% (S1 12: 16.1%) berikutan perbelanjaan modal sektor awam dan
swasta yang lebih tinggi. Pelaburan swasta terus kukuh, disokong pelaburan
dalam subsektor perkhidmatan berorientasikan dalam negeri, industri minyak
dan gas, serta perkilangan. Peningkatan pelaburan awam dipacu oleh
perbelanjaan modal perusahaan awam bukan kewangan dalam sektor
pengangkutan, minyak dan gas serta utiliti dan juga perbelanjaan
pembangunan Kerajaan Persekutuan untuk pengangkutan, perdagangan dan
perindustrian, serta kemudahan awam dan pendidikan.
Penggunaan swasta mencatat pertumbuhan yang kukuh sebanyak 8.8% (S1
12: 7.4%), hasil sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang teguh,
kenaikan yang nyata dalam pendapatan serta sentimen pengguna yang
bertambah baik. Di samping itu, inisiatif Kerajaan seperti bantuan kewangan
untuk isi rumah berpendapatan rendah dan peneroka FELDA, serta kenaikan
gaji dan pencen kakitangan awam juga telah menyumbang kepada kenaikan
dalam perbelanjaan. Penggunaan awam meningkat sebanyak 9.4% (S1 12:
7.3%), dipacu oleh perbelanjaan yang lebih tinggi ke atas emolumen serta
bekalan dan perkhidmatan.
Dari segi penawaran, kebanyakan sektor ekonomi terus berkembang,
disokong oleh kegiatan dalam negeri sektor perkhidmatan, iaitu subsektor
komunikasi, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan, serta kewangan dan
insurans. Sektor perkilangan telah didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi
dalam industri berorientasikan eksport dan pengembangan berterusan dalam
industri berorientasikan dalam negeri. Sektor pembinaan mencatat
pertumbuhan dua angka yang kukuh buat dua suku berturut-turut berikutan
peningkatan dalam aktiviti subsektor kejuruteraan awam. Pengembangan
sektor perlombongan pula mencerminkan pengeluaran minyak mentah yang
lebih tinggi, manakala sektor pertanian mengalami penguncupan disebabkan
pengeluaran minyak sawit mentah yang lebih rendah.
Kadar inflasi, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam Indeks
Harga Pengguna (IHP), menjadi sederhana kepada 1.7% pada suku kedua
(S1 12: 2.3%). Inflasi dalam kategori makanan dan minuman tanpa alkohol
menjadi sederhana berikutan penurunan harga daging dan sayur-sayuran.
Dalam sektor luaran, lebihan akaun semasa adalah lebih rendah pada suku
kedua kepada RM9.6 bilion, bersamaan dengan 4.4% daripada PNK. Lebihan
yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya oleh lebihan barangan yang
lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh pengembangan import kasar yang
lebih besar dalam keadaan pertumbuhan eksport kasar yang makin
sederhana.
Akaun kewangan kembali pulih apabila menjana aliran masuk sebanyak
RM5.4 bilion pada suku kedua (S1 12: -RM10.3 bilion) berikutan peningkatan
dalam aliran masuk bersih pelaburan lain dan kenaikan dalam FDI yang telah
mengimbangi aliran keluar bersih dana portfolio bukan pemastautin. FDI terus
kukuh pada RM6.1 bilion (S1 12: +RM7.5 bilion), disokong oleh aliran masuk
modal ekuiti dan pemberian pinjaman antara syarikat yang lebih tinggi kepada
syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia. Pelaburan langsung
syarikat Malaysia di luar negeri menjadi sederhana pada suku kedua kepada
RM2.5 bilion (S1 12: -RM16.9 bilion), mencerminkan aliran keluar modal ekuiti
dan pinjaman antara syarikat yang lebih rendah, serta pendapatan bersih
yang dihantar pulang oleh syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negeri.
Susulan lebihan dalam akaun semasa dan akaun kewangan, imbangan
pembayaran keseluruhan kembali pulih untuk mencatat lebihan sebanyak
RM12.7 bilion pada suku kedua (S1 12: -RM7.2 bilion).
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia meningkat kepada RM428.8
bilion (bersamaan dengan USD134.2 bilion) pada 29 Jun 2012. Paras rizab ini
telah mengambil kira pelarasan suku tahunan bagi keuntungan penilaian
semula pertukaran asing berikutan pengukuhan mata wang berbanding
dengan ringgit pada tempoh tersebut. Pada 31 Julai 2012, rizab berjumlah
RM429.6 bilion (bersamaan dengan USD134.5 bilion) yang memadai untuk
membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan ialah 3.9 kali hutang luar negeri
jangka pendek.
Dasar monetari terus menyokong kegiatan ekonomi
Kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak berubah pada 3.00% pada suku kedua
2012. Pada paras OPR semasa, keadaan monetari terus menyokong
kegiatan ekonomi.
Sebagai mencerminkan OPR yang tidak berubah, kadar antara bank purata
bagi semua tempoh matang secara relatif stabil. Dari segi kadar faedah
runcit, kadar deposit tetap (Fixed Deposit, FD) disebut purata bank
perdagangan secara relatif tidak berubah pada suku kedua. Kadar pinjaman
asas (base lending rate, BLR) purata bank perdagangan tidak berubah pada
6.53%, manakala kadar pinjaman purata (average lending rate, ALR)
berwajaran bagi pinjaman terkumpul kekal stabil pada 5.60% pada akhir bulan
Jun 2012 (akhir bulan Mac 2012: 5.62%).
Pada suku kedua, jumlah pembiayaan kasar yang diperoleh sektor swasta
melalui sistem perbankan dan pasaran modal bertambah kepada RM280.6
bilion (S1 12: RM259.9 bilion). Jumlah pembiayaan kasar yang lebih tinggi ini
disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam pengeluaran pinjaman
kepada sektor perniagaan dan tawaran awam awal (initial public offerings,
IPO) pada suku tersebut. Pada asas bersih, pinjaman sistem perbankan dan
PDS terkumpul berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 13.0% pada
akhir bulan Jun 2012 (S1 12: 13.3%).
Dana bersih yang diperoleh dalam pasaran modal berjumlah RM27.6 bilion
pada suku kedua (S1 12: RM43.5 bilion), dengan kebanyakan daripadanya
diperoleh sektor swasta. Dana yang diperoleh daripada pasaran ekuiti
meningkat dengan nyata kepada RM12.1 bilion (S1 12: RM1.3 bilion)
berikutan satu tawaran awam awal yang besar pada bulan Jun. Selepas
pelarasan bagi penebusan, dana bersih yang diperoleh sektor swasta
berjumlah RM22.6 bilion. Dalam sektor awam, perolehan dana bersih pada
suku kedua adalah sebanyak RM5.0 bilion (S1 12: RM13.7 bilion).
Agregat monetari berkembang pada kadar yang sederhana pada suku kedua.
Wang secara kecil atau M1 meningkat sebanyak RM3.5 bilion. Pada asas
tahunan, M1 berkembang sebanyak 9.9% pada akhir bulan Jun (akhir bulan
Mac 2012: 13.2%). Wang secara luas atau M3 meningkat sebanyak 12.8%
setahun pada akhir bulan Jun (akhir bulan Mac 2012: 15.0%). Pengembangan
M3 yang sederhana ini disebabkan oleh kegiatan pemerolehan dana yang
lebih giat oleh Kerajaan dan aliran keluar portfolio bersih pada suku tersebut.
Ringgit menyusut nilai sebanyak 3.8% berbanding dengan dolar AS pada
suku kedua, selaras dengan kebanyakan mata wang serantau lain.
Ketidakpastian yang timbul semula terhadap krisis hutang kerajaan di Eropah
dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan ekonomi serantau dan global
telah menyebabkan sesetengah pelabur mengurangkan pemegangan aset
pasaran sedang pesat membangun. Berbanding dengan mata wang utama
lain, ringgit menyusut nilai berbanding dengan paun sterling (-1.6%) dan yen
Jepun (-7.0%), tetapi menambah nilai berbanding dengan euro (2.0%).
Berbanding dengan mata wang serantau lain ringgit menyusut nilai dalam
julat antara 0.7% hingga 5.4%.
Pada tempoh 1 Julai hingga 13 Ogos 2012, ringgit menambah nilai
berbanding dengan euro (4.7%), dolar AS (2.3%), paun sterling (1.9%) dan
yen Jepun (0.9%). Ringgit juga menambah nilai berbanding dengan mata
wang serantau dengan mencatat pengukuhan berbanding won Korea, baht
Thailand, peso Filipina, rupiah Indonesia dan renminbi China antara 0.6%
hingga 2.3%. Ringgit kekal tidak berubah berbanding dengan dolar
Singapura.
Kestabilan kewangan dalam negeri terus mampan
Kestabilan kewangan kekal utuh sepanjang suku kedua 2012, disokong oleh
permodalan institusi kewangan yang teguh dan keadaan pasaran kewangan
yang terurus. Pasaran kewangan terus menunjukkan keupayaan yang tinggi
untuk menghadapi kejutan luaran dan ketidaktentuan akibat risiko hutang
kerajaan di kawasan Euro yang semakin meruncing.
Sektor perbankan terus berdaya tahan pada suku kedua dalam keadaan
keuntungan yang mampan dan mudah tunai yang lebih daripada mencukupi.
Permodalan sektor perbankan kekal stabil dengan nisbah modal teras dan
nisbah modal wajaran risiko masing-masing pada 12.9% dan 14.7%. Sektor
insurans juga terus berdaya tahan dengan nisbah kecukupan modal yang
kukuh pada 216.7%.
Ekonomi akan terus pulih pada kadar yang sederhana, namun risiko
kepada pertumbuhan masih wujud
Ekonomi global terus pulih pada suku kedua, namun pada kadar yang lebih
sederhana. Melangkah ke hadapan, ekonomi global berdepan dengan risiko
yang semakin meningkat berpunca daripada perkembangan dalam beberapa
ekonomi utama. Ketidakpastian mengenai dasar yang membelenggu krisis
hutang kerajaan Eropah dan isu fiskal di Amerika Syarikat dijangka memberi
kesan ke atas sentimen pasaran dan prospek pertumbuhan.
Bagi ekonomi Malaysia, sokongan kukuh permintaan dalam negeri yang
disokong oleh kegiatan sektor swasta dan awam telah menghasilkan
pertumbuhan yang lebih tinggi dalam persekitaran global yang semakin
mencabar. Trend ini dijangka berterusan pada masa hadapan, meskipun
risiko akibat daripada perkembangan luaran akan terus wujud.
Bank Negara Malaysia
15 Ogos 2012