Pada kali ini, kita berkongsi 4 tips mempertahankan diri untuk wanita. Berikut adalah perkara-parkara yang boleh para wanita lakukan sebagai persediaan…
1. Tambahkan Kekuatan Fizikal
Tidak semestinya menjadi seorang ahli bina badan barulah perlu menjaga atau meningkatkan kekuatan fizikal. Lakukanlah aktiviti senaman secara rutin yang dapat membantu menguatkan tubuh anda. Sebagai contoh, aktiviti bangkit tubi dan tekan tubi dapat membina kekuatan pada tubuh bahagian atas anda. Tanpa kekuatan, tumbukan atau tendangan anda tidak mungkin mampu menewaskan ancaman yang menimpa. Biar dengan sekali tumbukan atau tolakan sahaja, si penjenayah jatuh terlentang dan anda boleh ambil kesempatan melepaskan diri.
2. Tingkatkan Daya Tahan Kardiovaskular
Ingat akan prinsip pertahankan diri iaitu ‘lari lebih baik daripada dipukul’. Nampak macam pengecut bukan? Tapi ini bukan soal siapa berani. Ini soal keselamatan anda. Anda wanita dan biasanya penjenayah adalah daripada kalangan lelaki. Sentiasa bersedia untuk lari kerana itulah pilihan utama anda. Larilah sekuat hati anda sambil menjerit meminta tolong. Namun, anda memerlukan daya tahan kardiovaskular yang tinggi. Tanpa daya tahan kardiovaskular yang bagus, anda tidak mungkin dapat melarikan diri dengan jauh, pantas dan tidak dapat dikejar.
Oleh itu rajinkan diri bersenam. Berjalan kaki atau berjogging adalah baik. Setiap kali berlatih tambah jarak atau masa larian anda. Semakin kuat data tahan kardiovaskular anda, semakin selamatlah anda. Ia ibarat insurans nyawa sebenarnya.
3. Kekalkan Ruang Keselamatan
Tips mempertahankan diri ketiga untuk wanita adalah – ruang atau jarak keselamatan. Apabila anda sedang berhadapan dengan penjenayah dan sedang berkomunikasi dengannya, pastikan anda tidak berdiri terlalu dekat dengan mereka. Wujudkan sempadan dengan mengawal jarak anda sekurang-kurangnya 2 meter. Bercakap dengan nada suara yang tegas dan pandanglah dengan tepat pada matanya. Jangan sesekali terleka dengan terlepas pandang pada penjenayah walaupun sedetik. Ini akan membuka ruang untuk mereka mengambil kesempatan menyerang anda. Petuanya di sini – kekalkan ruang keselamatan dengan penjenayah. Jika mereka menghampiri sedikit maka jauhkan diri sedikit agar ruang keselamatan itu tadi kekal.
4. Pengetahuan Tentang Strategi Dan Teknik Pertahankan Diri
Hadirlah ke mana–mana kursus atau kelas beladiri atau berdaftarlah sebagai ahli seni beladiri di mana-mana persatuan. Belajarlah sebanyak mungkin yang anda mampu, terutamanya kaedah melepaskan diri dari pegangan atau pelukan, bagaimana untuk gunakan teknik memanipulasikan sendi (kuncian) dan bagaimana untuk berlawan dalam keadaan berdiri, duduk atau berbaring di lantai.
No comments:
Post a Comment