Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima pemberian zakat perniagaan bagi tahun 2011 dari empat syarikat bernilai kira-kira RM1.91 juta, kepada Pejabat Zakat Negeri Kedah dan Wilayah Persekutuan.
Majlis penyerahan zakat itu dimulakan dengan penyerahan zakat dari Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) yang disampaikan oleh Presidennya Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum dengan nilai RM105,207.
Daripada jumlah itu, RM55,140 akan diberikan kepada Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan manakala selebihnya adalah kepada Pejabat Zakat Negeri Kedah.
Dalam majlis yang berlangsung di Istana Anak Bukit, Bina Darulaman Berhad (BDB) pula menyerahkan zakat melalui Pengerusinya, Datuk Saad Endut dengan nilai RM855,000 diikuti oleh Naib Pengerusi Koperasi Bank Persatuan Malaysia, Zainon Ishak dengan nilai RM150,000.
Turut menyerahkan mock cek zakat perniagaan ialah Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melalui Ahli Lembaga Pengarahnya Datuk Azizan Ayub bernilai RM800,790.
Sementara itu, Presiden Angkasa Prof Datuk Dr Mohd Ali Baharum berkata, pihaknya juga turut menyediakan 400 ekor lembu sebagai pemberian zakat kepada 103 asnaf Orang Asli yang terpilih dengan setiap seorang menerima empat ekor lembu bernilai kira-kira RM6,500 untuk diternak.
"Kita lihat mereka (Orang Asli) ada potensi dalam mengembangkan sektor pertanian melalui ternakan lembu. Salah satu tujuan kita memberi lembu kepada golongan Orang Asli sebagai zakat adalah kerana kita nak didik mereka untuk berdikari dan kita lihat mereka menghargai pemberian ini," katanya.
Beliau berkata, pada tahun lepas Angkasa menyerahkan 180 ekor lembu kepada 60 orang asnaf dengan setiap seorang menerima tiga ekor anak lembu yang dianggarkan berharga kira-kira RM5,000.- Bernama
No comments:
Post a Comment