Thursday, 19 July 2012

Ekonomi Malaysia sederhana kepada 4.2%


KUALA LUMPUR 17 Julai - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana kepada 4.2 peratus tahun ini berbanding 5.1 peratus yang dicatatkan tahun lepas, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).
Ia berkata, permintaan domestik dijangka kekal pendorong utama pertumbuhan ekonomi berikutan pembangunan luar yang negatif.
"Penggunaan swasta dan kerajaan akan terus menjadi pendorong pertumbuhan ekonomi teras," katanya dalam satu kenyataan.
MIER juga berkata, kadar pertumbuhan ekonomi pada suku pertama menyederhana kepada 4.7 peratus berikutan pertumbuhan penggunaan peribadi dan eksport bersih yang lebih perlahan.
Sektor perkhidmatan juga dijangka terus memainkan peranan penting dalam mendorong ekonomi tetapi data terbaharu, bagaimanapun, membayangkan bahawa ada kemungkinan bahawa aktiviti perkhidmatan mungkin akan lebih memperlahan.
Sementara itu, keputusan Kajian Keadaan Perniagaan (BCI) MIER suku kedua yang meliputi sektor pembuatan, menunjukkan sektor pembuatan yang berkembang dengan perlahan.
BCI juga menunjukkan bahawa jualan, order domestik dan eksport pada suku ketiga juga akan merosot dan prospek pekerjaan akan terus lemah.
"Jumlah pengeluaran juga akan terus merosot," tambah kajian itu.
Bagaimanapun, kajian Sentimen Pengguna MIER berkata, isi rumah memasuki suku kedua dengan yakin dan mereka akan ke suku ketiga dengan penuh harapan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment